Saturday, January 1, 2011

Kisah Guru Dan Muridnya~

Suatu hari, Syeikh Syaqiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya, Hatim al-Asam :



"Sudah berapa lama awak belajar denganku?" Jawab Hatim: "Tiga puluh tiga tahun, guru." Tanya Syaqiq:" Berapa banyak ilmu yang kamu petik?" Jawab Hatim:" Hanya lapan masalah sahaja." Terkejutlah gurunya seraya berkata:" Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?" Jawab Hatim:" Benar guru. Saya tidak berdusta." Gurunya, Syaqiq berkata:" Sila datangkan lapan masalah tersebut." Kata Hatim :



1) Aku lihat kepada makhluk. Setiap orang mempunyai barang kesayangannya tetapi bila sampai ke kubur, nescaya berpisah. Justeru aku jadikan kesayanganku segala kebajikanku supaya ia kekal bersamaku di dalam kubur.



2) Aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Nazi'at, ayat 40:



وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى



Maksudnya:

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu



Justeru aku bersungguh- sungguh mujahadah nafsu hingga stabil dalam ketaatan kepada Allah



3) Aku lihat setiap orang mempunyai barang yang sangat berharga yang disimpannya. Kemudian aku lihat ayat Allah SWT dalam surah al-Nahl, ayat 97:



مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ



Maksudnya:

Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.



Tatkala dapat bagiku sesuatu yang berharga nescaya aku hadapkannya (kepada Allah dengan bersedekah) supaya sentiasa kekal di sisiku.



4) Sesungguhnya aku lihat ramai manusia bermegah dengan harta kekayaan, nasab keturunan dan kemuliaan. Sedangkan semuanya tiada nilai. Lantas aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 13:



يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ



Maksudnya:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).



Justeru aku beramal untuk bertaqwa supaya aku mulia di sisiNya



5) Sesungguhnya aku melihat manusia saling berhasad dengki. Kemudian aku lihat dalam surah al-Zukhruf, ayat 32:



أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَةَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُمْ مَعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُمْ بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَةُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ



Maksudnya:

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.



Justeru aku tinggalkan hasad.



6) Aku lihat kebanyakan mereka saling bermusuhan. Kemudian aku lihat firman Allah SWT dalam surah al-Fathir, ayat 6:



إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ



Maksudnya:

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.



Justeru aku tinggalkan permusuhan dengan mereka dengan hanya menjadikan syaitan sahaja sebagai musuh.



7) Aku lihat manusia sanggup menghina diri kerana mencari rezeki. Bila aku lihat ayat Allah SWT dlm surah Hud, ayat 6:



وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ



Maksudnya:

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab yang nyata (loh mahfuz).



Justeru aku sibukkan dengan apa yang menjadi amanahku dan meninggalkan urusan rezeki kepada Tuhanku.



8) Aku lihat mereka bergantung kepada perniagaan hasil buatan dan kesihatan mereka tetapi aku bertawakal kepada Allah.



Jawab gurunya Syaqiq: "Sesungguhnya aku lihat dalam Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Dan inilah inti pati kitab samawi yang empat ini. Siapa yang beramal dengan lapan masalah itu nescaya dia beramal dengan keempat-empat kitab."



No comments:

Post a Comment